PERTANYAAN : JAWAB LISAN
DARIPADA : DR. HAJI DZULKEFLY BIN AHMAD (KUALA SELANGOR)
TARIKH : 18 JUN 2009
SOALAN:
DR. HAJI DZULKEFLY BIN AHMAD [KUALA SELANGOR] minta MENTERI PENERANGAN, KOMUNIKASI DAN KEBUDAYAAN menyatakan kepada dewan pada kedudukan berapakah Malaysia diletakkan dalam kajian 150 negara, yang dilakukan oleh Kesatuan Telekomunikasi (ITU), tentang kos membuat panggilan atau melayari Internet nisbah pendapatan purata bulanan, dan apakah sebab-sebab utama yang menyebabkan kedudukan negara pada tangga tersebut.
JAWAPAN:
Tuan Yang Di Pertua,
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Malaysia berada di tangga yang ke-42 dalam kajian ICT Price Basket 2008 yang dilakukan oleh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU). Sejumlah 150 buah Negara yang diambil kira di dalam kajian tersebut. Kedudukan ini mengambil kira skor purata komponen-komponen ICT yang terdiri daripada 3 sub-basket lain iaitu talian tetap, telefon mudah alih dan Internet jalur lebar. Kedudukan Malaysia bagi komponen talian tetap dan telefon mudah alih adalah lebih tinggi.
Mengikut pecahan sub-basket; kedudukan Malaysia untuk talian tetap ialah di tangga ke-29, sementara untuk telefon mudah alih Malaysia berada pada kedudukan di tangga ke-39. Untuk Internet jalur lebar, Malaysia berada di tangga ke-51.
Sebab utama yang menyebabkan Malaysia berada di tangga ke-42 secara keseluruhan ialah kelemahan skor bagi Internet jalur lebar.
Berbanding dengan negara-negara di Asia Pasifik, kedudukan Malaysia adalah di tangga ke-8 daripada 29 buah negara manakala berbanding dengan negara-negara ASEAN Malaysia menduduki tangga ke-2.
Filed under: Dari Parlimen








