Dr Zulkefly usaha selesai masalah nelayan

Dipetik dari SinarHarian Edisi 06.11.2009 (Jumaat)

http://www.sinarharian.com.my/imagesSH/5575306.jpgASSAM JAWA – Nasib nelayan di sini terpaksa meredah jalan yang jauh untuk ke pangkalan sementara sampai di pelantar tempat pengumpulan ikan kerana pengusaha udang di kawasan itu menutup jalan yang menjadi laluan utama mereka untuk mengeluarkan hasil tangkapannya.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, beliau yang menerima aduan daripada nelayan tersebut akan berusaha untuk berjumpa dengan pengusaha itu bagi mengadakan perbincangan dengan sebaiknya.

Menurutnya, masalah nelayan ini sememangnya perlu diambil serius kerana mereka mengharapkan hasil tangkapan untuk menampung kos perbelanjaan keluarga.

“Apabila mereka ini terpaksa melalui laluan yang jauh, begitu sukar untuk mereka membawa hasil tangkapan sekiranya hasil yang mereka peroleh itu mendapat lebih daripada biasa.

“Malah, laluan kecil dan sempit dengan hanya motosikal sahaja yang boleh melalui jalan itu menyebabkan mereka terpaksa mengehadkan muatan,” katanya ketika melawat di Sungai Bukit Rotan.

Menurutnya, beliau akan berbincang dengan segera kerana kebanyakan nelayan bergantung kepada sumber ikan dan pekerjaan itu untuk mencari rezeki bagi menyara keluarga.

“Jadi sekiranya laluan utama kepada nelayan terlalu jauh sudah tentu menyukarkan mereka untuk membawa hasil itu keluar mengikut masa yang ditetapkan.

“Kita prihatin masalah yang dihadapi oleh nelayan di kawasan itu dan perbincangan yang sebaiknya akan dilakukan secepat mungkin bagi mengatasi masalah yang dihadapi oleh kedua belah pihak,” katanya.

Dr Dzulkefly berkata, beliau akan berusaha mengatasi masalah itu dan merancang supaya nelayan yang membuat tangkapan laut di situ dapat mengeluarkan hasil mereka ke pelantar dengan cepat dan mudah.

“Kita akan berusaha mencari jalan untuk membela nasib nelayan di kawasan itu kerana sumber pendapatan harian mereka bergantung kepada mencari rezeki di laut.

“Jadi usaha untuk membantu akan dipanjangkan kepada pihak yang berkenaan supaya membantu bagi membolehkan mereka menjalankan pekerjaan itu dengan lebih sistematik kerana penangkapan ia juga adalah sumber penjanaan ekonomi kepada negara,” katanya

Leave a Reply